Sunday, June 11, 2006

Temerloh sebagai "buaian" nasionalis kiri

Walaupun di negara ini ada beberapa tempat yang boleh disebut sebagai pusat gerakan nasionalis kiri , seperti Padang Rengas (Perak), Jenderam (Selangor), dan Muar (Johor), tetapi Temerloh mungkin merupakan tempat yang lebih penting dan lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat yang lain.

Temerloh bukan sahaja merupakan pusat gerakan nasionalis kiri, malah merupakan "buaian gerakan nasionalis kiri" dan lambang gerakan nasionalis kiri itu sendiri.

Sekurang-kruangnya ada tiga faktor yang memungkinkan Temerloh mencapai status yang demikian.

Faktor pertama, yang mungkin merupakan faktor yang paling penting ialah faktor sejarahnya. Ini ialah kerana di Temerloh pernah mucul gerakan penentangan yang kuat terhadap campur tangan Inggeris dalam politik dan pentadbiran Pahang pada akhir abad ke-19. Dengan dipelopori oleh Dato' Bahaman yang berasal dari daerah itu, gerakan penentangan itu telah meluas hampir ke seluruh negeri Pahang.

Meskipun gerakan penentangan itu berakhir dengan kegagalan, tetapi gerakan itu telah memberi ilham,semangat dan dorongan kepada generasi anak Pahang yang berikutnya untuk meneruskan perjuangan antipenjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.

Pada zaman perjuangan kemerdekaan pula, khususnya pada zaman sebelum darurat (1946-1948) di Temerloh telah muncul gerakan nasionalis kiri atau radikal yang kuat dan mendapat dukungan yang agak menyeluruh daripada penduduk kawasan itu. Meskipun gerakan nasionalis kiri juga muncul di beberapa tempat yang lain, tetapi kehebatan gerakan nasionalis kiri di Temerloh mungkin sukar ditandingi oleh gerakan nasionalis kiri di tempat lain.

Malah satu fakta yang lebih penting lagi, yang jelas kurang atau tidak terdapat di tempat lain, gerakan nasionalis kiri yang muncul di Temerloh itu kemudian telah diikuti oleh kemunculan perjuangan bersenjata, setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948. Penglibatan orang Melayu secara beramai-ramai dalam perjuangan bersenjata, sehingga mampu membentuk Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) memang merupakan satu fenomena yang terdapat di Temerloh sahaja.

Dengan menganggap diri mereka sebagai anak cucu atau keturunan Dato' Bahaman, penduduk Temerloh tidak ragu-ragu memilih "merdeka dengan darah" sebagai cara mereka berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Walaupun mereka berjuang bersama-sama dengan PKM, tetapi perjuangan bersenjata yang mereka sertai pada dasarnya mereka tanggapi sebagai lanjutan dari perjuangan yang dicetuskan oleh Dato' Bahaman.

Faktor yang kedua ialah kedudukan Temerloh dari segi geografi. Dari segi ini Temerloh memang merupakan suatu tempat yang strategik. Temerloh terletak di pedalaman, jauh dari pusat kuasa, dan sukar dihubungi kerana sistem perhubungan yang masih belum sempurna. Tambahan pula ketika itu sebahagian besar daerah Temerloh masih dipenuhi oleh hutan tebal. Oleh itu, Temerloh memang merupakan tempat yang paling sesuai untuk dijadikan pangkalan oleh golongan yang ingin menentang pihak yang berkuasa.

Faktor yang ketiga, yang tentunya merupakan faktor yang penting juga ialah faktor tokoh atau pemimpin.Sebenarnya Temerloh bukan sahaja melahirkan "pemimpin lama", seperti Dato' Bahaman yang menentang campur tangan Inggeris, tetapi juga "pemimpin baru", seperti IbrahimYaakub dan Ishak Haji Mohamad. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Ibrahimn Yaakub ialah pengasas dan pemimpin KMM, sementara Ishak Haji Mohamad pula pernah menjadi Presiden PKMM. Kemudian selepas mereka , di Temerloh lahir pula pemimpin yang lebih muda, seperti Kamarulzaman Teh yang pernah menjadi Ketua API Pahang.

Kerana adanya tiga faktor yang tersebut di atas, maka bolehlah disimpulkan, bahawa Temerloh bukan sahaja muncul sebagai sebagai pusat gerakan kiri yang terpenting, malah boleh dianggap sebagai lambang gerakan kiri. Jika Suriani Abdullah pernah menganggap "Temerloh adalah buaian revolusi", kerana di situlah lahirnya Rejimen Ke-10, pasukan bersenjata Melayu yang dibentuk oleh PKM, maka Temerloh juga boleh dianggap sebagai "buaian nasionalis kiri" , kerana terlebih dahulu daripada itu di Temerloh telah lahir gerakan nasionalis kiri yang kuat dan berpengaruh.

7 comments:

Jong said...

Salam, saya jawab saudara di bawah entri "Seruan Penyatuan Sunni-Syiah Oleh Syeikh Yusuf al-Qardawi". Terima kasih sahabat!

Khalid Jaafar said...

Beberapa persoalan: 1. Apa terjadi dengan Ibrahim Yaakob setelah lari ke Indonesia. Benarkah dia menggelapkan wang?
2. Bagaimana dengan cerita bayi Shamsiah Fakeh yang di campak ke sungai seperti yang ditulis oleh Alysius Chin.

Andin Salleh said...

Saudara Khalid,

Saya ada terbaca cerita Ibrahim Yaakob menggelapkan wang, tapi tak ingat di mana. Tapi siapakah yang boleh jadi saksi untuk mengesahkan hal itu?

Di Indonesia,kalau tak silap, dia ikut dalam revolusi dengan pangkat tinggi,kemudian jadi pengarah (?) bank.

Tentang Shamsiah buang bayi dalam sungai, cerita yang saya dengar, bukan dia sendiri yang melakukannya. Bayi itu dikatakan diserahkannya kepada seorang Cina, dan mungkin Cina itulah yang mencampakkannya ke dalam sungai. Sumber maklumat, seorang bekas anggota Rejimen ke-10 yang rapat dengan Shamsiah.

Khalid Jaafar said...

Terima kasih Harat. Saya, pastinya ramai yang lain, amat berharap saudara meneruskan kajian untuk memdapat kepastian atau hampir kepastian dalam hal-hal tersebut. Bagaimana dengan kisah Philip Kouk (abang Robert Kouk) yang mati diambush di Pahang?

Andin Salleh said...

Tentang Shamsiah dikatakan campak bayi ke sungai, saya akan tulis lagi kemudian.

Tentang Philip Kouk pula, saya kurang perasan dan akan cari maklumat lebih lanjut.

adios said...
This comment has been removed by the author.
adios said...
This comment has been removed by the author.