Sunday, November 02, 2008

Revolusi 1948

Beberapa hari yang lalu, saya menerima emel daripada seorang sahabat saya di Sukhirin, Selatan Thailand dengan tajuk "Revolusi 1948". Dia bertanya sudahkah saya melihat website berikut:

http://www.malaysiakini.columns/92183
http://revolusi48.blogspot.com/

Kebetulan saya terlepas pandang artikel yang termuat dalam Malaysiakini yang terpapar dalam website pertama, dan belum lagi melihat blog yang alamatnya tersiar sebagai website kedua.

Istilah Revolusi 1948, kalau tidak salah, "belum dipopularkan" sebelum ini, agak asli, dan sangat menarik perhatian saya.

Artikel yang saya terlepas pandang itu juga, sangat menarik. Setelah mencatatkan petikan pendapat Soekarno tentang pentingnya sejarah, ia menerangkan tentang sejarah negara kita yang sering dimanipulasi dan dibolot oleh pihak yang memegang kuasa. Dengan itu, dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, hanya perjuangan UMNO yang ditonjolkan, sementara perjuangan golongan kiri digelapkan dan dipropagandakan sebagai pengganas dan penjahat.

Maka untuk membongkar dan menyatakan fakta sejarah yang sebenar, seorang pengarah muda, Fahmi Reza yang sebelum ini berjaya membuat dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka, telah membuat dokumentari kedua bertajuk Revolusi 48.

Dokumentari berjudul Revolusi 48 itu membongkar kembali peristiwa bersejarah pada tahun 1948 yang telah memainkan peranan penting dalam usaha-usaha memerdekakan negara daripada penjajahan British.

Dengan itu, melalui penceritaan 4 orang tokoh, ia menghuraikan peranan yang telah dimainkan oleh orang-orang kiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya ( PKM) dalam perjuangan kemerdekaan.

Mereka dianggap sebagai pelopor kemerdekaan, kerana ketika pada tahun 1946 UMNO berbangga dengan slogan "Hidup Melayu", mereka sudah pun melaungkan slogan 'Merdeka".

Tahniah kepada Fahmi Reza yang berjaya menghasilkan dokumentari Revolusi 48 ini.

Blog http://revolusi48.blogspot.com ialah blog Fahmi Reza yang baru saja diwujudkannya dan antara lain, memaparkan aktiviti beliau dan kumpulannya.





Thursday, February 07, 2008

Biografi Abu Samah Mohd.Kassim

Abu Samah Mohd.Kassim mungkin kurang dikenali berbanding pemimpin Melayu PKM yang lain, seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Namun, beliau telah dilantik menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat PKM sejak tahun 1975. Dengan itu, beliau adalah salah seorang pemimpin Melayu PKM yang penting.

Beliau yang kini masih hidup dalama usia lebih 80 tahun menetap di Sukhirin, Selatan Thailand bersama Abdullah C.D dan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang memilih tidak pulang ke Malaysia dan menetap di negara asing itu.

Abu Samah yang berasal dari mukim Semantan, Temerloh ialah cicit Datuk Bahaman, Orang Kaya Semantan yang memimpin gerakan penentangan terhadap campur tangan Inggeris dalam politik dan pentadbiran Pahang pada tahun 1891-1891.

Abu Samah menyambung perjuangan Datuk Bahaman yang tidak kesampaian dengan menyertai gerakan politik kiri (PKMM dan API) pada tahun 1946-1948. Kemudian beliau menyertai Rejimen Ke-10, Tentera Pembebasan Nasional Malaya mulai tahun 1948.Beliau terlibat secara aktif dalam perang gerila menentang tentera penjajah Inggeris di Pahang mulai tahun 1948.

Abu Samah ikut berpindah ke Selatan Thailand pada tahun 1953, dan meneruskan perang gerila dari negara itu sehingga tahun 1989. Beliau hanya menghentikan perjuangannya dengan termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada tahun tersebut.

Perjuangan Abu Samah dalam masa hampir setengah abad itu adalah hebat. Sebagai catatan, beliaulah yang memimpin pasukan penggempur tentera PKM yang beroperasi di Kelantan pada tahun 1969 hingga 1976. Pasukan yang dipimpin oleh beliau hanya seramai 40 orang. Akan tetapi dengan taktik perang gerila, beliau tidak dapat dikalahkan, walaupun ada kalanya berhadapan dengan tentera kerajaan yang jumlahnya mungkin ratusan atau ribuan orang.

Kisah perjuangan Abu Samah yang hebat itu kini dapat dibaca dalam biografi beliau yang terbaru, yang ditulis oleh Dr.Mohamed Salleh Lamry. Buku tersebut bertajuk Abu Samah Mohd.Kassim: Pejuang Kiri Kemerdekaan Zuriat Datuk Bahaman diterbitkan oleh SIRD Petaling Jaya (2008) dan boleh dibeli di kedai buku terkemuka seperti MPH dan Popular.

Wednesday, January 09, 2008

Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan (Edisi bahasa Cina)

Buku Gerakan Kiri Melayu DalamPerjuangan Kemerdekaan (edisi Bahasa Cina) oleh Mohamed Salleh Lamry telah diterbitkan oleh Penerbit SIRD Petaling Jaya pada tahun 2007. Saya telah diberi oleh penerbitnya 10 buah naskhah percuma buku tersebut, tetapi saya tidak tahu untuk diberikan kepada siapa.

Saya teringat salah seorang yang patut saya hadiahkan buku tersebut ialah Dr.LeeYok Fee, bekas pelajar saya di UKM dahulu. Tetapi saya tidak tahu pula alamat beliau untuk saya hubungi. Saya hanya tahu beliau dahulunya bekerja di Kolej Tunku Abdul Rahman.

Saya kemudian teringat, saya ada menyimpan alamat emel lama beliau dan cuba menghubungi beliau melalui emel. Malangnya, emel yang saya kirim ke alamat itu beberapa bulan yang lalu tidak dapat disampaikan.

Setelah beberapa bulan berlalu, baru-baru ini saya kirim emel lagi kepada beliau, ke alamat yang sama. Tidak saya duga emel saya kali ini dapat disampaikan dan mendapat jawapan daripada beliau. Baru saya tahu beliau rupanya sekarang bekerja sebagai pensyarah kanan di UPM, dan tidak lagi di Kolej Tunku Abdul Rahman.

Beliau berminat untuk memperolehi buku Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan edisi bahasa Cina itu dan menyatakan akan menulis ulasan mengenainya dalam sebuah penerbitan bahasa Cina. Oleh itu, saya telah mengirimkan kepada beliau sebuah buku tersebut melalui pos pada hari Selasa, 8 Januari 2008.

Sekarang masih ada beberapa naskhah buku tersebut dalam simpanan saya. Saya akan menghadiahkannya kepada sesiapa yang berminat, berdasarkan siapa cepat, dia dapat.