Wednesday, June 21, 2006

Tan Malaka di SITC

Mengikut Shaharom Husain dalam memoirnya ( Memoir ShaharumHusain: Selengkar Kenangan Abadi, Penerbit UKM, 1996). Tan Malaka pernah datang ke SITC antara tahun 1928-1932 (beliau tidak menyatakan tarikhnya yang tepat).

Beliau menyebut Tan Malaka sebagai salah seorang tokoh politik dari Indonesia. Selain daripada Tan Malaka, tokoh lain juga pernah datang ke SITC, antaranya Alimin, Sutan Djenain, Subakat, Djamaluddin Tamin, Nata Zainuddin dan Mochtar Lufti.

Mereka dikatakan datang ke SITC untuk bertemu dengan guru dan penuntut di maktab itu. Antara guru yang ada di maktab itu pada masa itu ialah Harun Mohd.Amin (Harun Aminurashid) dan Buyong Adil.

Kedatangan tokoh politik dari Indonesia itu dikatakan ada kesannya. Daripada hubungan mereka dengan tokoh-tokoh itu, dan majalah serta akhbar Indonesia yang mereka baca (seperti Persatuan Indonesia, Suluh Rakyat Indonesia , Bintang Timur dan Bintang Hindia), mereka terpengaruh dengan gerakan politik di Indonesia, dan timbullah semangat kesedaran kebangsaan di kalangan mereka.

4 comments:

Khalid Jaafar said...

Satu lagi maklumat baru bagi saya. Apakah dia di SITC menggunakan nama Tan Malaka? atau nama samaran. Ini bermakna SITC adalah tapak terawal kepada gerakan Komunis Melayu.

Andin Salleh said...

Shaharum tidak menjelaskan sama ada Tan Malaka memakai nama samaran atau tidak. Akan tetapi, nama-nama lain yang disebutnya, seperti Sutan Djenain dan Alimin adalah nama sebenar yang sudah kita kenal.

Saya lihat pula buku Abdul Samad Idris, "25 Tahun Merdeka" (Penerbitan Pustaka Budiman, Kuala Lumpur, 1982). Di muka surat 311,beliau ada menyebut, antara tokoh politik dari Indonesia yang "melarikan diri" ke Tanah Melayu setelah berlakunya pemberontakan komunis yang gagal (di Jawa 1926 dan di Sumatera tahun 1927) ialah "Djamaluddin Tamin, Subakat, Tan Malaka, Alimin, Muso, Nata Zainuddin, Darsono, Burhan Dajmin, Semaun, Sutan Djenain, Muchtar Lutfi dan ramai lagi"

Jadi nama Tan Malaka juga ada disebuat oleh beliau, seperti nama lain yang sudah kita kenal sebagai nama sebenar.

Khalid Jaafar said...

Maka perlu ditulis "Tan Malaka di Malaya." Atau sudah adakah yang menulisnya?

Andin Salleh said...

Setakat ini rasanya belum ada tulisan khusus tentang Tan Malaka di Malaya. Namanya hanya disebut secara sepintas lalu dalam beberapa buku dan makalah.

Dalam sebuah buku tentang sejarah awal PKM,kalau tak salah ada disebut kegiatan beliau pada tahun 1920-an dahulu untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyokong gerakan komunis. Akan tetapi, beliau berpendapat fahaman komunis sukar dikembangkan di kalangan orang Melayu, kerana majoriti orang Melayu adalah "borjuis kecil" (Maksudnya agaknya pada masa itu orang Melayu belum ramai yang menjadi buruh, seperti orang Cina, atau seperti yang terdapat di Indonesia. Kalau buruh Melayu ramai, tentu mereka lebih mudah ditarik menyokong komunis).