Friday, June 16, 2006

Kematian seorang "Anak Revolusi"

Pada bulan Ogos 1948, Shamsiah Fakeh, bekas Ketua AWAS Malaya telah berkahwin dengan Wahi Anuar, bekas Ketua PETA dan seorang kader PKM, ketika mereka bersembunyi di kampung Lubok Kawah, Temerloh.

Bagi Shamsiah perkahwinannnya itu adalah perkahwinannya yang keempat. Sebelum itu dia pernah berkahwin dengan Ahmad Boestamam, Ketua API Malaya dalam tempoh yang singkat.

Tidak lama selepas itu mereka menyertai perjuangan bersenjata untuk menentang penjajah Inggeris yang dipimpin oleh PKM. Mereka terutamanya beroperasi di daerah Temerloh.

Shamsiah melahirkan seorang anak di dalam hutan belantara, kira-kira bulan Oktober 1949, di satu tempat bernama Padang Piul. Pada bulan November 1949, pasukan tentera PKM ( Tentera Pembebasan Nasional Malaya) telah diserang oleh pasukan keselamatan.

Akibat serangan yang hebat itu, Shamsiah dan Wahi telah terpisah dari rakan-rakan mereka dan terpaksa tinggal di khemah sementara mereka tanpa makanan yang mencukupi, dan mungkin pernah terputus makanan.

Tidak lama kemudian, Shamsiah terpisah pula dari Wahi yang keluar mencari makanan dan mencari rakan-rakan mereka. Wahi sebenarnya telah ditangkap oleh pasukan keselamatan, tetapi pihak British mengeluarkan propaganda bahawa Wahi menyerah diri kerana kelaparan.

Apakah yang berlaku ke atas Shamsiah dan anaknya setelah terpisah dari Wahi?

Seseorang yang sedang bergerila, yang tempat tinggal dan makan minumnya tidak menentu, tentu tidak mungkin membawa anaknya bersama-sama. Anak itu mesti ditinggalkan, tetapi dengan siapa dan bagaimana caranya?

Cerita yang tersebar dalam masyarakat kemudiannya ialah Shamsiah telah mencampakkan anaknya ke dalam sungai, sebelum dia dapat bergabung kembali dengan kawan-kawannya. Di antara yang menyebarkan cerita ini termasuklah Musa Ahmad, bekas Pengerusi PKM.Cerita ini telah tersebar luas sehingga mungkin telah dipercayai oleh umum.

Ketika saya berkunjung ke Temerloh pada tahun 2002 yang lalu, saya cuba mendapatkan pengesahan tentang cerita ini daripada seorang penduduk Temerloh yang dahulunya sama-sama berjuang dengan Shamsiah di dalam hutan dan mempunyai hubungan yang agak rapat dengan Shamsiah.

Saya dimaklumkan, tidak benar jika Shamsiah sendiri dikatakan mencampakkan anaknya ke dalam sungai. Apa yang diketahui oleh beliau, anak itu telah diserahkan oleh Shamsiah kepada seorang Cina, kader PKM, yang berjanji akan menyerahkannya kepada orang lain yang bersedia untuk memeliharanya. Jika benar kanak-kanak itu dicampakkan ke dalam sungai, mungkin kader Cina PKM itulah yang melakukannya; bukan Shamsiah.

Baharu-baharu ini telah terbit memoir Shamsiah, "Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke-10" (Penerbit UKM, 2004). Shamsiah telah mengambil kesempatan untuk menerangkan tentang kematian anaknya, "anak revolusi" itu mengikut versi beliau sendiri.

Mengikut Shamsiah , memang benar anaknya itu telah diserahkannya kepada seorang Cina, kader PKM yang menemuinya, ketika beliau keseorangan dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Beliau mengakui kader Cina itulah yang telah membunuh anaknya, walaupun dia hanya mengetahuinya tiga tahun kemudian. Shamsiah tidak menerangkan bagaimana cara anaknya dibunuh. Mungkinkah dengan cara dicampakkan ke dalam sungai atau cara lain? I

Shamsiah tidak menerangkannya mungkin juga kerana dia tidak tahu, atau kerana sebab-sebab lain. Tapi kita kini mungkin boleh mempercayai bahawa bukanlah Shamsiah yang membunuh anaknya sendiri.

Alangkah malangnya nasib seorang anak revolusi.






CEri

3 comments:

Khalid Jaafar said...

Terima kasih dengan maklumat ini. Bagaimana dengan perpecahan kepada tiga kumpulan menurut A Alysous Chin. Dan bagaimana kesah sebenar Musa Ahmad yang "dibawa pulang" oleh Malaysia dari Beijing?

Andin Salleh said...

Terima kasih atas minat sdr terhadap blog saya.

Buat masa ini saya tidak dapat menulis panjang, kerana pengetahuan saya tentang PKM pun masih agak terbatas kepada buku Alysous Chin dan satu dua buku lain.

Salam.

balungbidai said...

Memang menarik entry ini. Menurut cerita datuk nenek kami orang sanggang, Shamsiah Fakeh bersama pasukannya telah dikejar oleh pasukan keselamatan hingga ke tebing Sungai Pahang, untuk mengelakkan daripada ditangkap, Shamsiah telah menghanyutkan anaknya di dalam sungai, pasukan keselamatan mengikut bunyi tangisan anak itu kehilir sungai, Shamsiah pula lari kearah hulu sungai...sebab itulah beliau tidak dapat ditangkap... begitulah ceritanya...wallahhua'lam.