Hubungan PKM dan PKMM: "Menguasai" atau "Bekerjasama"?
Dalam kebanyakan tulisannya tentang hubungan PKM dan PKMM, seorang pensyarah sejarah terkenal, Prof. Ramlah Adam, sering menyebut bahawa PKM "mempengaruhi" dan malah "menguasai" PKMM.
Antara alasan beliau ialah PKMM pada mulanya diketuai oleh Mokhtaruddin Laso, seorang komunis (kader PKM), dan beberapa orang komunis (ahli PKM) juga menjadi pemimpin penting parti itu.
Pendapat beliau ini sudah lama tersebar luas, dan seolah-olah sudah menjadi "kebenaran" yang tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa.
Baharu-baharu ini saya melihat-lihat kembali buku tokoh PKM, Abdullah C.D. Memoir Abdullah C.D.: Zaman Pergerakan Sehingga 1948 (SIRD, 2005).
Dalam bukunya itu, Abdullah C.D.mengakui bahawa PKMM ditubuhkan oleh bekas pemimpin dan aktivis KMM dan pemimpin PKM. Dan pemimpin PKMM memang terdiri daripada dua golongan itu, termasuk Ketua Umum pertamanya, Mokhtaruddin Laso, seorang komunis.
Akan tetapi, Abdullah C.D. tidak membayangkan langsung bahawa golongan kedua (PKM) menguasai golongan pertama (bekas pemimpin dan aktivis KMM). Yang diceritakannya hanyalah kedua golongan itu bekerjasama dan berganding tangan dalam perjuangan menentang penjajah.
Jadi di sini pendapat Ramlah Adam yang seolah-olah sudah dianggap sebagai "kebenaran" itu mungkin wajar ditinjau kembali.
Jika PKMM dikuasai oleh PKM dari segi organisasi, adakah bukti bahawa dasar, strategi dan taktik perjuangan PKMM ditentukan dan dikendalikan oleh PKM? Atau dengan perkataan lain, setakat mana PKM telah mempengaruhi dasar, strategi dan taktik perjuangan PKMM, jika ada? Rasanya tidak ada bukti yang jelas.
Jika ahli-ahli PKMM pula yang telah dipengaruhi oleh PKM, berapa ramai ahli PKMM yang telah terpengaruh dengan ideologi komunis dan masuk menjadi ahli PKM? Rasanya tidak ada, atau kalau ada pun mungkin beberapa kerat sahaja.
Jadi bagaimana kita boleh katakan PKM telah menguasai PKMM?
Selama ini kita seolah-olah telah "dipaksa" untuk mempercayai PKM itu begitu kuat, begitu berpengaruh dan begitu berkuasa. Akan tetapi, kita tahu pemimpin penting PKM dari orang Melayu hanya beberapa kerat sahaja ( Musa Ahmad, Abdullah C.D., Rashid Maidin, Wahi Anuar, Shamsiah Fakeh dll). Adakah mereka ini begitu berkarisma dan begitu berkuasa sehingga dapat mempengaruhi pemimpin dan ahli PKMM yang berpuluh ribu orang?
Pada tahun 1948-1949 dahulu memang ada kira-kira 400 orang penduduk Temerloh yang masuk ke hutan menentang Inggeris kerana dipengaruhi oleh Abdullah C.D. , Wahi Anuar dan Musa. Ahmad Sebahagiannya memang bekas anggota PKMM, API dan AWAS. Tapi ini bukan bukti PKM telah mempengaruhi dan menguasai PKMM sebagai sebuah organisasi.
Lagi pun pemimpin penting PKMM, seperti Dr.Burhanuddin dan Ishak Haji Mohamad (dan juga Ahmad Boestamam, Ketua API)bukanlah orang bodoh kalau dibandingkan dengan Abdullah C.D. dan Rashid Maidin. Dr.Burhanuddin memang biasa berceramah di pentas yang sama dengan Rashid Maidin pada tahun 1947. Akan tetapi, mereka bekerjasama; bukan dikuasai oleh PKM.
Dengan itu, pendapat yang mengatakan bahawa PKM telah mempengaruhi dan menguasai PKMM ini agaknya hanyalah andaian yang telah jadi mitos, dan bukanlah kebenaran.
1 comment:
Apapun cara/bentuk pengendalian PKMM & PKM masih tidak menghalalkan penyembelihan atuk nenek kita yang tidak berdosa. Ia juga tidak akan membolehkan kita untuk menyokong gerakan komunis/PKM sehinggalah ada segelintir nya yang sanggup menyanjung PKM sebagai pejuang kemerdekaan.
Sudahkah kita lupa akan kekejaman yang mereka lakukan. Atau kita tak pernah percaya pun akan wujudnya apa yg dikatakan kekejaman PKM/komunis tu.
Post a Comment