Sunday, May 21, 2006

Lubok Kawah: Kampung Kecil yang Melahirkan Pejuang Besar


Sebelum Perang Dunia Kedua dahulu, Kampung Lubok Kawah, dalam daerah Temerloh , Pahang hanyalah sebuah kampung kecil. Penduduk asal kampung itu mungkin hanya kira-kira 30 keluarga. Walau bagaimanapun, kampung itu mempunyai penduduk yang ramai, kerana di kampung itu ada sebuah sekolah pondok yang menjadi tumpuan anak muda Pahang belajar agama mengikuti sistem pondok. Sekolah pondok itu dikendalikan oleh Haji Chik Man ( Haji Abdul Rahman) yang berasal dari Kelantan.

Kampung itu terletak dalam mukim Sanggang, dan di bawah jagaan Penghulu Sanggang. Bagaimanapun, "kawalan" Penghulu Sanggang ke atas kampung itu mungkin agak longgar, kerana Penghulu tinggal di kampung lain, di kampung Sanggang. Kepimpinan di kampung itu lebih banyak dikendalikan oleh Haji Md.Amin, ketua tempatan dan ketua keluarga yang bergelar Tuk Mukim (pemimpin informal yang kedudukannya di bawah Penghulu).

Oleh kerana tidak berada secara langsung di bawah kawalan Penghulu yang biasanya lebih berpihak kepada kerajaan dan pihak yang berkuasa, maka dalam bidang politik penduduk kampung itu agak bebas memilih haluan mereka sendiri.

Demikianlah, antara tahun 1946-1948, apabila gerakan politik kiri, seperti PKMM, API , AWAS dan BATAS muncul di daerah Temerloh, hampir semua penduduk kampung itu menyertai gerakan itu. Golongan yang lebih tua menyertai PKMM dan BATAS, sementara golongan yang lebih muda menyertai API dan AWAS.

Malah di antara ahli-ahli API itu ada beberapa orang yang sempat direkrut oleh Kamarulzaman Teh, Ketua API Pahang, yang juga seorang kader PKM, menjadi ahli PKM.

Mereka "bebas" menentukan haluan politik mereka sendiri, antara lain, kerana mereka tidak dikawal secara langsung oleh Penghulu atau pemimpin formal yang lain.

Kira-kira pada tahun 1947, atas inisiatif Kamarulzaman, sebuah bangunan yang dinamakan Markas API telah didirikan di tepi sungai, tidak jauh dari masjid, di kampung itu. Markas API itu, yang juga digabungkan dengan sebuah kantin (dinamakan Kantin API) telah menjadi tempat dan pusat anggota gerakan kiri Temerloh menjalankan aktiviti mereka.

Pada bulan Mei 1948, sebuah tempat latihan perkaderan untuk anggota Jabatan Kerja Melayu PKM yang kemudiannya dinamakan "Kem Se-Malaya" telah dibina di dalam hutan, dipinggir kampung itu. Yang membinanya tidak lain daripada ahli-ahli API Kampung Lubok Kawah. Beberapa orang ahli API Lubuk Kawah turut menghadiri kursus perkaderan itu bersama-sama "tokoh Melayu PKM", seperti Abdullah C.D. Rashid Maidin, Musa Ahmad, Wahi Anuar dan Shamsiah Fakeh.

Pada awal darurat pula, kampung Lubok Kawah menjadi tempat persembunyian empat tokoh Melayu PKM, iaitu Musa Ahmad, Wahi Anuar, Shamsiah Fakeh dan Zainab Mahmud, sebelum mereka masuk ke hutan untuk melancarkan perjuangan bersenjata. Tokoh-tokoh itu selamat berada di kampung itu, kerana mereka dijaga dan dilindungi oleh ahli-ahli gerakan kiri di kampung itu. Di kampung itu juga Shamsiah Fakeh dan Wahi Anuar berkahwin.

Apabila PKM melancarkan perjuangan bersenjata selepas undang-undang darurat diisytiharkan pada bulan Jun1948, ahli-ahli PKMM, API, AWAS dan BATAS Lubok Kawah adalah antara penduduk Temerloh yang paling awal menyertai gerakan itu. Bilangan mereka yang terlibat dengan perjuangan bersenjata itu dianggarkan tidak kurang daripada 40 orang.

Ada di antara mereka yang menyerah diri dan mengundurkan diri dari perjuangan, setelah Rejimen Ke-10, pasukan bersenjata Melayu PKM menghadapi "kekalahan" dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan , di satu tempat bernama Padang Piul, pada tahun 1949.

Namun, kira-kira separuh daripada mereka terus berjuang, malah ikut berpindah ke Selatan Thailand pada tahun 1953, apabila Rejimen ke-10, 11 dan 12 tentera PKM (Tentera Pembebasan Rakyat Malaya) terpaksa meninggalkan negeri Pahang.

Salah seorang daripada ahli API Lubok yang ikut berpindah ke Selatan Thailand ialah Ibrahim Chik yang kemudiannya menjadi salah seorang tokoh besar PKM, iaitu Ahli Jawatan Kuasa Pusat PKM.

Ibrahim Chik dan isterinya balik ke Temerloh pada tahun 1992. Akan tetapi beberapa orang bekas tentera PKM yang berasal dari Temerloh memilih tinggal di Kampung Perdamaian di Selatan Thailand, bersama ketua mereka Abdullah C.D, Suriani Abdullah dan Abu Samah Mohd. Kassim.

Jika kita berkunjung ke Lubok Kawah pada masa ini, kampung Lubok Kawah masih tetap merupakan kampung kecil, kerana kebanyakan anak-anak muda daripada kampung itu telah berpindah ke bandar atau ke tempat lain. Kebanyakan penduduknya ialah orang-orang tua.

Markas API tidak ada lagi , kerana telah dirobohkan oleh pihak yang berkuasa pada zaman darurat. Di tapak Markas API itu sekarang adalah tanah kosong yang ditutupi oleh semak belukar. Tapak Kem Se-Malaya pula masih boleh dikenali, tetapi sudah rata dan sudah menjadi sebahagian daripada kawasan sebuah kilang papan. Hanya masjid tua yang sudah buruk, peninggalan zaman sebelum perang, masih boleh dilihat dikampung itu.

Thursday, May 18, 2006

Pejuang hak asasi manusia pun komunis?

Sebelum ini saya tidak pernah membeli dan membaca majalah Milenia Muslim. Saya membeli keluaran April 2006, kerana di dalamnya ada beberapa artikel yang berkaitan dengan PKM dan memoir bekas tokoh PKM.

Nampaknya majalah itu membawa mesej yang sangat antikomunis.

Sebuah artikel berdasarkan wawancara dengan Najib, Timbalam PM, diberi tajuk" Najib: Memoir Bekas Komunis Perlu di Pantau".

Mujurlah majalah itu menyiarkan juga hasil wawancara dengan Prof.Khoo Kay Kim dengan tajuk, "Khoo: Biarkan Mereka Menulis Agar Rakyat Menilai Kebenarannya."

Walaupun saya tidak bersetuju dengan semua pendapat Prof.Khoo, tetapi ada pendapat beliau yang mungkin boleh dianggap agak rasional juga apabila beliau berkata, " Itu hak mereka untuk menulis tentang komunis atau ideologi lainnya kerana kini komunisme bukan lagi menjadi ancaman kepada negara. Sebaliknya sebagai golongan pembaca, kita perlu menjadi pembaca yang kritis, jangan hanya menelan bulat-bulat apa yang dihidangkan dalam buku itu."

Walau bagaimanapun, pendapatn Left.Jen (B) Abdullah Samsudin, yang disiarkan di bawah tajuk, "Fahaman Komunis Tak Pernah Padam," saya kira agak meragukan, dan mungkin juga berbahaya, apabila dicatatkan seperti berikut, " Pada masa ini fahaman komunis dan parti komunis biasanya aktif bergerak menggunakan landasan hak asasi kerana serata dunia tidak menerima ideologi komunis..."

Betulkah demikian? Adakah seorang pejuang hak asasi manusia hendak disamakan dengan komunis dan dianggap sebagai komunis juga? Ataupun ini satu lagi propaganda untuk memomokkan komunis?

Tuesday, May 16, 2006

Komunis Melayu Tidak Pernah Keluar Islam

Dalam interviewnya dengan majalah Milenia Muslim, April 2006, Left. Jen (B) Abdullah Samsudin, dilaporkan ada berkata seperti berikut:

"Pengalaman pada tahun 1977 ketika berada di Selatan Thailand memasuki kem Rejimen ke-10, saya dapati tidak ada al-Quran dan tidak ada mana-mana kitab mengenai Islam dalam kem tersebut. Apa yang banyak kami temui ialah berguni-guni dokumen komunis yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Melayu Jawi".

Apa tujuan beliau menyatakan "fakta" tersebut? Adakah untuk menunjukkan orang-orang komunis Melayu itu sudah membuang al-Quran dan sudah meninggalkan agama Islam?

Beliau juga dilaporkan memberi pendapat seterusnya, yang mungkin lebih meragukan, seperti berikut:

"Persoalan sama ada mereka bersolat, berpuasa dan mengamalkan kehidupan sebagai Muslim tidak mungkin PKM membenarkan ahli-ahlinya beribadat. Sama ada bekas PKM yang terdiri di kalangan orang Melayu ini Islam atau tidak kita tidak dapat pastikan."

Saya mungkin boleh mempercayai bahawa semasa mereka berada di dalam hutan dahulu, kebanyakan anggota PKM tidak menjalankan ibadat sembahyang, puasa dan sebagainya dengan sempurna. Akan tetapi, betulkah PKM tidak membenarkan ahli-ahlinya beribadat? Ini barangkali hanya tuduhan untuk memburukkan PKM.

Sementara itu, jika kita berkunjung ke Kampung Perdamaian di Selatan Thailand, tempat tinggal bekas anggota komunis Melayu pada masa ini, kita boleh lihat di situ mereka ada mendirikan masjid, dan menjalankan sembahyang Jumaat dan sembahyang waktu di masjid tersebut.

Tidak lama dahulu, ketua-ketua komunis Melayu, seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin, Abu Samah dan Ibrahim Chik semuanya telah menunaikan fardu haji.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh Rashid Maidin di tempat tinggalnya di Jaha, Yala, sekarang ialah mengajar mengaji al-Quran kepada kanak-kanak di tempat tersebut.

Saya pernah tinggal dengan Rashid Maidin di rumah Abdullah C.D selama beberapa hari ketika saya berkunjung ke Kampung Perdamaian ( atau namanya sekarang Ban Chulabhorn Pattana 12 ) tidak lama dahulu. Saya dapati Rashid Maidin sentiasa menjalankan sembahyang lima waktu, bila tiba waktunya.

Jadi kita barangkali tidak perlu meragui keislaman mereka. Mereka masih Islam dan tidak pernah keluar dari Islam,walaupun dahulu mereka adalah tokoh komunis dan berjuang bersama-sama dengan PKM.
Asal Usul Kebencian Terhadap Komunis

Bilakah mula timbulnya perasaan benci dan dendam di kalangan sebahagian orang Melayu terhadap komunis (PKM)?

Kalau kita melihat balik ke belakang, ke tahun 1926, selepas berlakunya pemberontakan komunis yang gagal di Jawa, ramai tokoh atau aktivis komunis itu yang melarikan diri ke negara ini. Antaranya Tan Malaka, Alimin, Subakat, Djamaluddin Tamin dan Sutan Jenain.
Kedatangan mereka diterima, bahkan dilindungi oleh sebahagian penduduk negara ini.

Tokoh atau aktivis komunis itu tidak dibenci, malah diiktiraf oleh setengah-setengah tokoh politik, seperti Ibrahim Yaakub dan Tan Sri Abdul Samad Idris, sebagai orang-orang yang ada peranannya dalam mencetuskan semangat kebangsaan Melayu dan semangat antipenjajahan di kalangan orang Melayu di negara ini.

Salah seorang daripada mereka, Sutan Jenain, diiktiraf oleh Mustapha Husain, Naib Presiden KMM, sebagai orang yang banyak membantu penubuhan parti itu -- parti politik Melayu pertama yang bercita-cita untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan cara bergabung dengan Indonesia dan mewujudkan negara baru, Melayu Raya. Sutan Jenain juga dikatakan banyak mengajar pemimpin KMM cara-cara berorganisasi.

Kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap komunis mungkin mula tercetus selepas berakhirnya pemerintahan Jepun pada akhir tahun 1945, apabila 'Bintang Tiga" atau MPAJA, pasukan tentera PKM, "memerintah" selama 14 hari. Pada masa itu, komunis dikatakan banyak melakukan kekejaman terhadap orang-orang Melayu yang dahulu bekerjasama dengan Jepun atau mereka yang dituduh sebagai "hantu Jepun". Maka timbullah konflik perkauman yang serius antara orang Melayu dengan orang Cina, kerana Bintang Tiga itu dipersepsikan sama dengan orang Cina.

Walau bagaimanapun, "kekejaman" komunis (Bintang Tiga) ini boleh dikatakan sudah berbalas, apabila orang Melayu di pelbagai tempat, seperti di Batu Pahat, di Sungai Manik dll telah mengasah parang dan "menebas" ramai orang Cina dengan parang panjang (atau senjata lain). Dan selepas itu, hubungan orang Melayu dengan orang Cina,yang dipersepsikan sama dengan komunis, pada lahirnya mungkin telah pulih.

Oleh itu, apabila Parti Kebangsan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 tokoh-tokoh komunis Melayu juga turut menjadi pengasasnya.Malah Yang Dipertua PKMM yang pertama, Mokhtaruddin Laso, adalah seorang komunis.

Pada akhir tahun 1947, Rahid Maidin, seorang kader komunis Melayu, sering berceramah bersama-sama dengan Dr.Burhanuddin, seorang pejuang Islam, di pentas yang sama, di pelbagai tempat.

Jadi sehingga awal tahun 1948, hubungan antara orang Melayu dengan komunis boleh dikatakan baik, dan mereka bekerjasama dan berjuang bersama.

Akan tetapi, apabila Darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948, dan PKM yang sebelumnya merupakan parti yang sah (legal) sudah diharamkan, bermulalah peperangan antara PKM dengan kerajaan penjajah dan orang Melayu yang menyokong penjajah.

Dalam peperangan ini pihak kerajaan penjajah banyak menggunakan askar Melayu, polis Melayu dan SC Melayu untuk memerangi PKM. Orang Melayu yang berkenaanlah yang sekarang ingin dianggap sebagai "pejuang", walaupun pada masa itu mereka mungkin jadi askar, polis dan SC hanya untuk cari makan!

Peperangan antara PKM dengan kerajaan penjajah memang sengit; memerlukan perbelanjaan, persenjataan dan tenaga yang banyak, khasnya di pihak kerajaan penjajah. Maka sebagai satu taktik dan strategi perang syaraf yang penting, dipropagandakanlah bahawa komunis adalah penjahat, pengganas, dan seterusnya dilabelkan sebagai "pengganas komunis".

Propaganda ini nampaknya begitu berkesan, sehingga yang dilihat melakukan kezaliman dan keganasan ialah pihak PKM, sedangkan pihak tentera penjajah , yang juga melakukan pembunuhan dan sebagainya, tidak dianggap demikian -- maklumlah mereka barangkali dianggap bertindak bagi pihak "kerajaan yang sah".

Jadi sejak itulah timbulnya kebencian dan dendam sebahagian (kebanyakan?) orang Melayu terhadap komunis.

Dengan itu, apa sahaja yang dilakukan oleh PKM dianggap sebagai kekejaman dan kezaliman.Malah setelah isu kekejaman komunis ini "dihangatkan" kembali baru-baru ini, timbullah anggapan bahawa komunis adalah musuh rakyat dan Chin Peng adalah "pengganas yang paling dibenci oleh rakyat".

Sebenarnya semua ini berasal dari propaganda kerajaan penjajah yang sangat efektif. Mungkin kita tidak sedar, atau tidak mahu sedar, kerana sebahagian daripada "kita" dahulunya adalah menjadi penyokong penjajah dan tali baru penjajah (walaupun hanya untuk cari makan), tetapi mahu diiktiraf sebagai wira negara!

Saturday, May 13, 2006

"Wira" yang menentang panayangan "Lelaki Komunis Terakhir"


Siapakah penentang kuat penayangan filem LKT?

Saya kira, antara mereka, tentulah bekas pegawai tentera dan polis yang menganggap diri mereka sebagai "wira", kerana telah "berjuang" menentang komunis pada zaman darurat dahulu. Malang bagi mereka, ada juga yang cedera, sama ada kerana bom, peluru atau jerangkap samar yang dipasang oleh tentera PKM.

Tidak syak lagi mereka inilah yang menganggap komunis telah melakukan keganasan dan kekejaman ke atas rakyat negara ini.

Dan tentunya sensitiviti merekalah yang ingin dijaga sangat oleh pihak yang berkuasa (khasnya Kementerian Dalam Negeri) yang telah mengaharamkan penayangan filem itu.

Akan tetapi, kalau kita melihat fakta sejarah secara jernih dan jujur, kita mungkin terpaksa mengakui, bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka memasuki pasukan keselamatan itu dahulu hanyalah untuk "cari makan":

Sekarang orang-orang yang bekerja untuk cari makan inilah yang ingin disanjung sebagai wira!

Di samping itu, bolehkah kita nafikan bahawa mereka berjuang di sebelah pihak penjajah, dan "perjuangan" mereka akan menyebabkan kerajaan penjajah terus menguasai negara ini dan terus memunggah kekayaan dari negeri ini?

Mungkin ada orang yang menyanjung mereka sebagai wira, sebab begitulah agaknya kehendak pihak yang berkuasa pada masa kini. Akan tetapi, tentu ada yang tidak bersetuju dengan pandangan itu, wakaupun pandangan mereka mungkin bukan pandangan arus perdana!

Friday, May 12, 2006

Tafsiran Pejuang Kemerdekaan Terhadap Darurat

Kita agaknya sudah lama menerima tafiran pihak penjajah, yang kemudiannya diterima sebagai 'tafsiran rasmi" dan tafsiran arus perdana, bahawa anggota-anggota PKM yang menentang kerajaan penjajah pada zaman darurat dahulu adalah "penjahat" atau "pengganas".

Tafsiran penjajah ini memang merupakan sebahagian daripada taktik dan perang saraf pihak penjajah untuk menumpaskan PKM.

Tafsiran penjajah ini sebenarnya sama dengan tafsiran sebelum itu bahawa pembesar tradisional yang menentang kemasukan penjajah Inggeris dahulu, seperti Dato' Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah dll adalah "penderhaka"; bukan pejuang kemerdekaan.

Tafsiran penjajah seperti ini telah menyebabkan orang-orang yang berjuang di pihak penjajah, penyokong penjajah dan tali barut penjajah disanjung sebagai wira dan patriot yang kononnya berjuang untuk negara, bangsa dan agama, sedangkan kita tahu kebanyakan daripada mereka memasuki pasukan keselamatan hanyalah untuk "cari makan"!

Dengan itu, dalam konflik antara PKM dengan pihak penjajah itu, PKM-lah yang dianggap melakukan kekejaman dan keganasan.Sekiranya ada askar, polis dan orang awam yang menyokong penjajah, yang ditembak atau dicederakan oleh anggota PKM, maka anggota PKM-lah yang dianggap sebagai pihak yang "bersalah"

Tafsiran sejarah seperti ini agaknya masih dipegang oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah dipengaruhi oleh tafsiran pihak penjajah, yang kemudiannya menjadi tafsiran rasmi tersebut.

Itulah sebabnya filem "Lelaki Komunis Terakhir" diharamkan. Tanpa melihat kandungan filem itu terlebih dahulu, pihak Kementerian Dalam Negeri telah mengambil tindakan yang terburu-buru mengharamkan filem tersebut.

Agaknya apa sahaja yang berkaitan dengan komunis, walaupun hanya memaparkan fakta sejarah, dan tidak pula bermaksud untuk menyanjung mana-mana tokoh komunis, dianggap tidak layak diketahui oleh orang ramai.

Pandangan dan fikiran orang ramai agaknya mahu terus dibelenggu oleh tafsiran terhadap PKM dan zaman darurat yang berasal dari tafsiran penjajah!.

Akan tetapi, bolehkah kita nafikan bahawa perjuangan secara bersenjata yang dilancarkan oleh PKM pada zaman darurat sebenarnya sama juga dengan gerakan penentangan yang dilakukan oleh pembesar tradisional Melayu dahulu? Bukankah PKM juga berjuang untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah dan mencapai kemerdekaan?

Jika kita menerima tafsiran seperti ini, soal kekejaman dan kezaliman sebenarnya tidak timbul. Zaman darurat adalah zaman perang; bukan zaman normal. Sebagai pejuang kemerdekaan, pihak PKM tentunya akan bertindak terhadap pihak yang menyokong penjajah dan "berjuang" di sebelah penjajah.

Jika pihak-pihak yang menyokong dan berjuang di pihak penjajah itu mendapat musibah daripada "perjuangan" mereka, maka itu adalah akibat dari pilihan dan pendirian mereka sendiri. Mereka telah berpihak di sebelah penjajah, maka mereka tanggunglah akibatnya, tanpa sedu sedan, atau menyalahkan pihak lain.

Thursday, May 11, 2006

Perkembangan positif tentang filem "Lelaki Komunis Terakhir"?

Barangkali adalah satu perkembangan yang positif, dan lebih menjurus ke arah kewarasan, apabila Datuk Rais Yatim membuat keputusan membenarkan Ahli Parlimen dan media menonton filem LKT berdasarkan Akta Finas.

Sebelum ini saya menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri mungkin melakukan kesilapan apabila begitu terburu-buru mengharamkan filem tersebut tanpa mengkaji kandungannya terlebih dahulu.

Oleh itu, pendapat Rais, yang berikut tentu boleh diterima:

"Kita hanya boleh komen jika kita menonton filem itu.Inilah keadilan. Peraturan keadilan menyatakan bahawa jika anda tidak menonton filem itu bagaimana anda mengatakan filem itu antikeselamatan".

Mudah-mudahan selepas Ahli Parlimen dan media menontonnya, satu keputusan yang lebih wajar boleh diambil oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap filem itu.

Wednesday, May 10, 2006

Mengharamkan "Lelaki Komunis Terakhir" : tindakan yang silap?


Filem LKT sudah diharamkan.Laporan dan perbincangan dalam akhbar tentang filem itu, setakat ini, sudah tiada lagi.

Tapi kita tahu tindakan mengharamkan filem itu diambil secara tergesa-gesa dan mungkin tanpa usul periksa.

Tidak dipastikan lebih dahulu, misalnya, adakah filem itu bertujuan untuk membesar-membesarkan perjuangan komunis dan menjadikan Chin Peng sebagai hero.

Dalam hal ini mungkin kesilapan telah dilakukan. Oleh itu tidak bolehkah Kementerian Dalam Negeri meninjau kembali, dan kalau boleh, mengubah keputusannya itu?

Tuesday, May 09, 2006

Siapa yang tak bersetuju dengan tayangan filem Lelaki KomunisTerakhir?


Sebenarnya susah difahami mengapa Kementerian Dalam Negeri begitu terburu-buru mengharamkan filem Lelaki Komunis Terakhir tanpa mengkaji lebih dahulu bagaimanakah sebenarnya "kandungan" filem itu.

Kita nampaknya terlampau takut dengan apa yang ada kaitan dengan komunis, sehingga ada "orang besar" kita yang membuat kenyataan bahawa filem itu membesar-besarkan dan menjadikan Chin Peng sebagai 'hero", sedangkan ia tidak benar sama sekali, dan jelas beliau membuat kenyataan berdasarkan agakan sahaja.

Saya fikir kebanyakan anggota masyarakat kita tidak kisah pun filem itu ditayangkan atau tidak.Yang bising-bisng, yang tidak mahu filem itu ditayangkan, hanya beberapa "kerat" sahaja.

Jadi tidak wajarlah filem itu diharamkan dengan alasan "orang ramai" tidak menyetujui penayangannya.