Sunday, July 02, 2006

Di sebalik penerbitan buku tokoh komunis Melayu


Penerbit UKM ialah penerbit pertama yang merancang untuk menerbitkan buku-buku memoir dan biografi tokoh komunis Melayu.

Saya tidak tahu bila rancangan itu diputuskan. Mungkin di sekitar tahun 1999 atau lebih awal sedikit daripada itu, iaitu ketika Prof.Anuar Ali masih menjadi Naib Cancelor UKM. Khabarnya beliau tidak keberatan Penerbit UKM menerbitkan buku-buku itu, walaupun beliau tidaklah ghairah sangat dengan rancangan itu.

Manuskrip pertama yang diterima oleh Penerbit UKM ialah memoir Ibrahim Chik yang ditulis sepenuhnya oleh Ibrahim Chik sendiri. Manuskrip itu terpaksa diedit dengan banyaknya, dan saya adalah salah seorang yang ditugaskan mengedit buku tersebut pada peringkat akhir.

Kemudian menyusul manuskrip memoir Shamsiah Fakeh. Shamsiah juga menulis sendiri memoirnya, tetapi dengan panduan dan bimbingan seorang anggota Sidang Pengarang UKM.

Kedua-dua memoir itu sempat diterbitkan oleh Penerbit UKM pada tahun 2004.

Sebelum kedua-dua memoir itu siap dicetak, Penerbit UKM juga menerima dua lagi manuskrip, iaitu memoir Abdullah C.D. dan Rashid Maidin. Memoir Abdullah C.D. ditulis oleh pembantu peribadi beliau, Husin Yaakob (ada dinyatakan dalam Prakata), manakala penulis memoir Rashid Maidin nampaknya tidak dinyatakan.

Malangnya, selepas sahaja memoir Ibrahim Cik dan Shamsiah Fakeh diterbitkan, timbullah pelbagai tulisan dalam akhbar Utusan Malaysia yang mempertikaikan tindakan Penerbit UKM menerbitkan kedua-dua buku itu.

Akibatnya penjualan buku memoir Ibrahim Chik dan Shamsiah Fakeh "dibekukan" oleh pihak UKM sendiri, walaupun kedua-dua buku itu tidak diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dalam hal ini, agak malang dan sayang sekali pihak Naib Canselor UKM sekarang (Prof. Mohd.Salleh Yasin) tidak berani mempertahankan penerbitan buku itu, dan tunduk kepada arahan orang atas yang dikatakan "tidak suka" buku itu diterbitkan.

Sementara itu, manuskrip memoir Rashid Maidin dan Abdullah C.D., yang telah siap diedit oleh pihak Penerbit UKM "terpaksa" diserahkan kepada penerbit lain (SIRD, Petaling Jaya), dan terbit pada akhir tahun 2005. Buku ini masih berada di pasaran, kerana dikatakan baru terjual kira-kira 1,000 buah bagi setiap buku, dan tidak diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mengenai buku Rashid Maidin, saya tahu bukan beliau sendiri yang menulisnya. Tetapi saya tidak tahu mengapa nama penulisnya tidak dinyatakan dalam buku itu.






.

Saturday, July 01, 2006

Why did government ban "The Last Communist"?


Yang di atas ialah tajuk artikel K.George, seorang penulis veteran (?) dalam Harakah 1-15 Julai 2006.

Sayang artikel ini muncul terlambat; setelah isu berkenaan sejuk dan tak dibincangkan lagi.

Tapi mungkin elok juga saya berikan respons ringkas.

Mengikut K.George PKM sebenarnya pernah berunding dengan British untuk menuntut kemerdekaan pada tahun 1947. Perundingan itu gagal. Sebab itulah parti itu melancarkan perjuangan bersenjata.

Bagaimanapun, pembunuhan Sir Henry Gurney dikatakan "... led to colonial masters to come to the inevitable conclusion that their days in Malaya were numbered. The British government told the Tunku that they were prepared to grant independence to Malaya..."

Dengan ringkas, penulis menyatakan PKM ada peranan dalam perjuangan untuk menuntut kemerdekaan. Fakta inilah yang mahu disembunyikan oleh kerajaan. Dan itulah sebabnya kerajaan mengharamkan filem Lelaki Komunis Terakhir.

Adakah pendapat penulis ini benar? Anda nilailah sendiri.