Saturday, May 15, 2010

Menulis Biografi Siti Norkiah


Setakat  ini saya telah menulis dua buah buku tentang tokoh kiri, iaitu tentang Kamarulzaman Teh dan Abu Samah Mohd.Kassim.

Buku  tentang Abu Samah lebih laris. Cetakan pertama sebanyak 1,000 naskhah sudah hampir habis terjual. Cuma buku tentang Kamarulzaman Teh yang  penjualannya agak perlahan sedikit.

Sekarang saya sedang menulis biografi ringkas Siti Norkiah, isteri Abu Samah (Lihat gambar di atas). Buku ini barangkali tidak dapat ditulis terlalu panjang, kerana bahan yang diceritakan oleh beliau kepada saya pun tidaklah begitu banyak.

Bagaimanapun, saya harap buku ini dapat merakamkan dan mengabadikan kisah perjuangan Siti Norkiah sejak muda, sehinggalah beliau berada di Selatan Thailand kira-kira 40 tahun. Beliau pernah berjuang dalam AWAS, sebagai Ketua AWAS Pahang, kemudian bergerila di Pahang selama kira-kira 3 tahun sebelum berpindah ke Selatan Thailand.

Bagaimanakah pengalamannya selama kira-kira 40 tahun di Selatan Thailand? Tentu banyak yang menarik, walaupun  tidak  dapat diceritakannya  secara detail.