Sunday, November 25, 2007

Memoir Shamsiah Fakeh (Edisi Baru)

Tahniah kepada Penerbit SIRD Petaling Jaya kerana telah menerbitkan edisi baru Memoir Shamsiah Fakeh.

Selepas penjualan edisi awal penerbitan UKM ditarik balik atas arahan Kementerian Pendidikan Tinggi memang ramai peminat buku tokoh kiri yang tercari-cari buku tersbut.

Penerbitan edisi baru buku tersebut diharap dapat memenuhi keinginan pembaca yang ramai untuk memilikinya.

Di samping itu, mungkin baik juga jika dapat diterbitkan terjemahannya dalam bahasa Cina dan Inggeris.

Sunday, July 22, 2007

Siapakah yang memulakan gerakan menentang penjajah?

Mengapakah tulisan Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia 22 Julai 2007 perlu diberi tajuk "Orang Melayu mula gerakan menentang penjajah, bukan PKM"?

Sekiranya kita mengakui fakta sejarah bahawa perjuangan menentang penjajah bermula sejak Portugis menjajah Melaka pada tahun 1511, saya rasa semua orang tahu yang mula-mula menentang penjajah memang orang Melayu dan tidak ada sesiapa yang mempertikaikan hal itu. Dan dalam hal ini PKM rasanya memang tidak pernah mendakwa bahawa parti itulah yang memulakan gerakan menentang penjajah.

Akan tetapi, kontroversi timbul apabila ada pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mendakwa bahawa perjuangan menentang penjajah hanya bermula pada tahun 1946 dengan perjuangan menentang Malayan Union yang diterajui oleh UMNO. Jadi seolah-olah UMNO-lah yang memulakan gerakan menentang penjajah.

Pandangan ini tidak betul, kerana perjuangan menentang penjajah bukan bermula dengan gerakan menentang Malayan Union. Perjuangan menentang penjajah sudah bermula jauh lebih awal daripada itu.

Cuma kita tidak harus lupa UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, sementara PKM ditubuhkan pada tahun 1930. Jadi mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa PKM berjuang menentang penjajah lebih dahulu daripada UMNO.

Thursday, May 31, 2007

Pemimpin Yang Tidak Pulang

Setelah Rashid Maidin meninggal dunia di Selatan Thailand pada akhir tahun 2006 yang lalu, kini hanya ada tiga orang pemimpin komunis Melayu di negara itu, iaitu Abdullah C.D. isterinya Suriani Abdullah dan Abu Samah Mohamad Kassim.

Berbeza dari Chin Peng yang berhasrat pulang ke Malaysia, ketiga-tiga pemimpin di atas, yang telah berumur lebih 80 tahun, nampaknya tidak berhasrat berbuat demikian. Apatah lagi mereka telah pun mendapat kewarganegaraan Thailand.

Pada awal tahun 1990-an dahulu, selepas termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Thailand dan kerajaan Malaysia, mereka mungkin dibolehkan balik ke Malaysia jika mereka mahu. Namun, mereka tidak berbuat demikian pada masa itu, terutamanya kerana mereka merasa bertangungjawab menjaga kebajikan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang memilih tidak balik ke Malaysia.

Setelah hampir 20 tahun berlalu, nampaknya hasrat mereka untuk pulang dan menetap di Malaysia memang sudah tidak ada lagi.Di Selatan Thailand kini mereka boleh hidup secara sederhana, tetapi selesa, bersama-sama dengan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang dahulunya di bawah pimpinan mereka. Sebagai pemimpin, mereka bertanggungjawab membantu kehidupan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang berumur 60 tahun ke atas dengan memberi sedikit wang sara hidup kepada bekas anggota Rejimen Ke-10 itu.

Kebetulan "organisasi" mereka memang masih ada wang tabungan, walaupun kini agaknya sudah tidak banyak lagi, maklumlah sudah berlalu hampir 20 tahun.Namun, dengan wang baki tabungan itu mereka dan pengikut mereka masih boleh hidup secara sederhana.