Thursday, May 31, 2007

Pemimpin Yang Tidak Pulang

Setelah Rashid Maidin meninggal dunia di Selatan Thailand pada akhir tahun 2006 yang lalu, kini hanya ada tiga orang pemimpin komunis Melayu di negara itu, iaitu Abdullah C.D. isterinya Suriani Abdullah dan Abu Samah Mohamad Kassim.

Berbeza dari Chin Peng yang berhasrat pulang ke Malaysia, ketiga-tiga pemimpin di atas, yang telah berumur lebih 80 tahun, nampaknya tidak berhasrat berbuat demikian. Apatah lagi mereka telah pun mendapat kewarganegaraan Thailand.

Pada awal tahun 1990-an dahulu, selepas termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Thailand dan kerajaan Malaysia, mereka mungkin dibolehkan balik ke Malaysia jika mereka mahu. Namun, mereka tidak berbuat demikian pada masa itu, terutamanya kerana mereka merasa bertangungjawab menjaga kebajikan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang memilih tidak balik ke Malaysia.

Setelah hampir 20 tahun berlalu, nampaknya hasrat mereka untuk pulang dan menetap di Malaysia memang sudah tidak ada lagi.Di Selatan Thailand kini mereka boleh hidup secara sederhana, tetapi selesa, bersama-sama dengan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang dahulunya di bawah pimpinan mereka. Sebagai pemimpin, mereka bertanggungjawab membantu kehidupan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang berumur 60 tahun ke atas dengan memberi sedikit wang sara hidup kepada bekas anggota Rejimen Ke-10 itu.

Kebetulan "organisasi" mereka memang masih ada wang tabungan, walaupun kini agaknya sudah tidak banyak lagi, maklumlah sudah berlalu hampir 20 tahun.Namun, dengan wang baki tabungan itu mereka dan pengikut mereka masih boleh hidup secara sederhana.