Saturday, June 24, 2006

Tan Malaka di Jenderam

Sebagaimana yang sudah jadi pengetahuan umum, pada zaman darurat dahulu ramai penduduk kampung Jenderam, Sepang, Selangor yang menjadi penyokong dan pengikut PKM.

Akibatnya penduduk kampung itu telah dipindahkah ke Keluang, Johor, dan rumah serta tanaman mereka telah dimusnahkan oleh pihak kerajaan penjajah.

Mengikut Wikipedia, pemimpin komunis dari Indonesia seperti Tan Malaka dll pernah datang ke kampung itu, yang penduduknya terdiri daripada orang Minangkabau. Mungkin kerana pengaruh pemimpin dari Indonesia itulah maka penduduk kampung itu ramai yang menyokong PKM.

Akan tetapi, Wikipedia tidak menyatakan bila Tan Malaka datang ke kampung itu. Mungkinkah pada akhir tahun 1920-an dahulu?
Siapakah Mokhtaruddin Laso?

Satu catatan ringkas tentang Mokhtaruddin Laso, saya tulis dalam blog saya yang lain: http://lentera.blogsome.com

Friday, June 23, 2006

Hubungan PKM dan PKMM: "Menguasai" atau "Bekerjasama"?

Dalam kebanyakan tulisannya tentang hubungan PKM dan PKMM, seorang pensyarah sejarah terkenal, Prof. Ramlah Adam, sering menyebut bahawa PKM "mempengaruhi" dan malah "menguasai" PKMM.

Antara alasan beliau ialah PKMM pada mulanya diketuai oleh Mokhtaruddin Laso, seorang komunis (kader PKM), dan beberapa orang komunis (ahli PKM) juga menjadi pemimpin penting parti itu.

Pendapat beliau ini sudah lama tersebar luas, dan seolah-olah sudah menjadi "kebenaran" yang tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa.

Baharu-baharu ini saya melihat-lihat kembali buku tokoh PKM, Abdullah C.D. Memoir Abdullah C.D.: Zaman Pergerakan Sehingga 1948 (SIRD, 2005).

Dalam bukunya itu, Abdullah C.D.mengakui bahawa PKMM ditubuhkan oleh bekas pemimpin dan aktivis KMM dan pemimpin PKM. Dan pemimpin PKMM memang terdiri daripada dua golongan itu, termasuk Ketua Umum pertamanya, Mokhtaruddin Laso, seorang komunis.

Akan tetapi, Abdullah C.D. tidak membayangkan langsung bahawa golongan kedua (PKM) menguasai golongan pertama (bekas pemimpin dan aktivis KMM). Yang diceritakannya hanyalah kedua golongan itu bekerjasama dan berganding tangan dalam perjuangan menentang penjajah.

Jadi di sini pendapat Ramlah Adam yang seolah-olah sudah dianggap sebagai "kebenaran" itu mungkin wajar ditinjau kembali.

Jika PKMM dikuasai oleh PKM dari segi organisasi, adakah bukti bahawa dasar, strategi dan taktik perjuangan PKMM ditentukan dan dikendalikan oleh PKM? Atau dengan perkataan lain, setakat mana PKM telah mempengaruhi dasar, strategi dan taktik perjuangan PKMM, jika ada? Rasanya tidak ada bukti yang jelas.

Jika ahli-ahli PKMM pula yang telah dipengaruhi oleh PKM, berapa ramai ahli PKMM yang telah terpengaruh dengan ideologi komunis dan masuk menjadi ahli PKM? Rasanya tidak ada, atau kalau ada pun mungkin beberapa kerat sahaja.

Jadi bagaimana kita boleh katakan PKM telah menguasai PKMM?

Selama ini kita seolah-olah telah "dipaksa" untuk mempercayai PKM itu begitu kuat, begitu berpengaruh dan begitu berkuasa. Akan tetapi, kita tahu pemimpin penting PKM dari orang Melayu hanya beberapa kerat sahaja ( Musa Ahmad, Abdullah C.D., Rashid Maidin, Wahi Anuar, Shamsiah Fakeh dll). Adakah mereka ini begitu berkarisma dan begitu berkuasa sehingga dapat mempengaruhi pemimpin dan ahli PKMM yang berpuluh ribu orang?

Pada tahun 1948-1949 dahulu memang ada kira-kira 400 orang penduduk Temerloh yang masuk ke hutan menentang Inggeris kerana dipengaruhi oleh Abdullah C.D. , Wahi Anuar dan Musa. Ahmad Sebahagiannya memang bekas anggota PKMM, API dan AWAS. Tapi ini bukan bukti PKM telah mempengaruhi dan menguasai PKMM sebagai sebuah organisasi.

Lagi pun pemimpin penting PKMM, seperti Dr.Burhanuddin dan Ishak Haji Mohamad (dan juga Ahmad Boestamam, Ketua API)bukanlah orang bodoh kalau dibandingkan dengan Abdullah C.D. dan Rashid Maidin. Dr.Burhanuddin memang biasa berceramah di pentas yang sama dengan Rashid Maidin pada tahun 1947. Akan tetapi, mereka bekerjasama; bukan dikuasai oleh PKM.

Dengan itu, pendapat yang mengatakan bahawa PKM telah mempengaruhi dan menguasai PKMM ini agaknya hanyalah andaian yang telah jadi mitos, dan bukanlah kebenaran.

Wednesday, June 21, 2006

Tan Malaka di SITC

Mengikut Shaharom Husain dalam memoirnya ( Memoir ShaharumHusain: Selengkar Kenangan Abadi, Penerbit UKM, 1996). Tan Malaka pernah datang ke SITC antara tahun 1928-1932 (beliau tidak menyatakan tarikhnya yang tepat).

Beliau menyebut Tan Malaka sebagai salah seorang tokoh politik dari Indonesia. Selain daripada Tan Malaka, tokoh lain juga pernah datang ke SITC, antaranya Alimin, Sutan Djenain, Subakat, Djamaluddin Tamin, Nata Zainuddin dan Mochtar Lufti.

Mereka dikatakan datang ke SITC untuk bertemu dengan guru dan penuntut di maktab itu. Antara guru yang ada di maktab itu pada masa itu ialah Harun Mohd.Amin (Harun Aminurashid) dan Buyong Adil.

Kedatangan tokoh politik dari Indonesia itu dikatakan ada kesannya. Daripada hubungan mereka dengan tokoh-tokoh itu, dan majalah serta akhbar Indonesia yang mereka baca (seperti Persatuan Indonesia, Suluh Rakyat Indonesia , Bintang Timur dan Bintang Hindia), mereka terpengaruh dengan gerakan politik di Indonesia, dan timbullah semangat kesedaran kebangsaan di kalangan mereka.

Friday, June 16, 2006

Kematian seorang "Anak Revolusi"

Pada bulan Ogos 1948, Shamsiah Fakeh, bekas Ketua AWAS Malaya telah berkahwin dengan Wahi Anuar, bekas Ketua PETA dan seorang kader PKM, ketika mereka bersembunyi di kampung Lubok Kawah, Temerloh.

Bagi Shamsiah perkahwinannnya itu adalah perkahwinannya yang keempat. Sebelum itu dia pernah berkahwin dengan Ahmad Boestamam, Ketua API Malaya dalam tempoh yang singkat.

Tidak lama selepas itu mereka menyertai perjuangan bersenjata untuk menentang penjajah Inggeris yang dipimpin oleh PKM. Mereka terutamanya beroperasi di daerah Temerloh.

Shamsiah melahirkan seorang anak di dalam hutan belantara, kira-kira bulan Oktober 1949, di satu tempat bernama Padang Piul. Pada bulan November 1949, pasukan tentera PKM ( Tentera Pembebasan Nasional Malaya) telah diserang oleh pasukan keselamatan.

Akibat serangan yang hebat itu, Shamsiah dan Wahi telah terpisah dari rakan-rakan mereka dan terpaksa tinggal di khemah sementara mereka tanpa makanan yang mencukupi, dan mungkin pernah terputus makanan.

Tidak lama kemudian, Shamsiah terpisah pula dari Wahi yang keluar mencari makanan dan mencari rakan-rakan mereka. Wahi sebenarnya telah ditangkap oleh pasukan keselamatan, tetapi pihak British mengeluarkan propaganda bahawa Wahi menyerah diri kerana kelaparan.

Apakah yang berlaku ke atas Shamsiah dan anaknya setelah terpisah dari Wahi?

Seseorang yang sedang bergerila, yang tempat tinggal dan makan minumnya tidak menentu, tentu tidak mungkin membawa anaknya bersama-sama. Anak itu mesti ditinggalkan, tetapi dengan siapa dan bagaimana caranya?

Cerita yang tersebar dalam masyarakat kemudiannya ialah Shamsiah telah mencampakkan anaknya ke dalam sungai, sebelum dia dapat bergabung kembali dengan kawan-kawannya. Di antara yang menyebarkan cerita ini termasuklah Musa Ahmad, bekas Pengerusi PKM.Cerita ini telah tersebar luas sehingga mungkin telah dipercayai oleh umum.

Ketika saya berkunjung ke Temerloh pada tahun 2002 yang lalu, saya cuba mendapatkan pengesahan tentang cerita ini daripada seorang penduduk Temerloh yang dahulunya sama-sama berjuang dengan Shamsiah di dalam hutan dan mempunyai hubungan yang agak rapat dengan Shamsiah.

Saya dimaklumkan, tidak benar jika Shamsiah sendiri dikatakan mencampakkan anaknya ke dalam sungai. Apa yang diketahui oleh beliau, anak itu telah diserahkan oleh Shamsiah kepada seorang Cina, kader PKM, yang berjanji akan menyerahkannya kepada orang lain yang bersedia untuk memeliharanya. Jika benar kanak-kanak itu dicampakkan ke dalam sungai, mungkin kader Cina PKM itulah yang melakukannya; bukan Shamsiah.

Baharu-baharu ini telah terbit memoir Shamsiah, "Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke-10" (Penerbit UKM, 2004). Shamsiah telah mengambil kesempatan untuk menerangkan tentang kematian anaknya, "anak revolusi" itu mengikut versi beliau sendiri.

Mengikut Shamsiah , memang benar anaknya itu telah diserahkannya kepada seorang Cina, kader PKM yang menemuinya, ketika beliau keseorangan dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Beliau mengakui kader Cina itulah yang telah membunuh anaknya, walaupun dia hanya mengetahuinya tiga tahun kemudian. Shamsiah tidak menerangkan bagaimana cara anaknya dibunuh. Mungkinkah dengan cara dicampakkan ke dalam sungai atau cara lain? I

Shamsiah tidak menerangkannya mungkin juga kerana dia tidak tahu, atau kerana sebab-sebab lain. Tapi kita kini mungkin boleh mempercayai bahawa bukanlah Shamsiah yang membunuh anaknya sendiri.

Alangkah malangnya nasib seorang anak revolusi.






CEri

Wednesday, June 14, 2006

Di mana Tan Malaka tahun 1945?

Hari ini saya melihat-lihat kembali buku Harry A.Poeze, " Pergulatan Menuju Republik: Tan Malaka 1925-1945", iaitu satu-satunya buku biografi Tan Malaka yang terpenting dan berwibawa.

Saya ingin tahu di mana Tan Malaka berada pada tahun 1945, pada zaman pendudukan Jepun dan selepasnya.

Nampaknya, sepanjang pendudukan Jepun, tahun 1942-1945, Tan Malaka berada di Jawa; tidak terbayang langsung dia pernah ke luar negeri, khasnya ke Malaysia.

Dengan itu, implikasinya ialah Mokhtaruddin Laso yang dikatakan menubuhkan PKMM di Ipoh pada bulan Oktober 1945 bukanlah Tan Malaka.

Mokhtaruddin Laso dan Tan Malaka jelas dua orang tokoh yang berlainan. Cuma yang tidak jelas bagi kita di mana Mokhtaruddin Laso berada dan bagaimana kehidupannya seleaps dia menghilangkan diri pada hujung tahun 1945 itu.

Sunday, June 11, 2006

Temerloh sebagai "buaian" nasionalis kiri

Walaupun di negara ini ada beberapa tempat yang boleh disebut sebagai pusat gerakan nasionalis kiri , seperti Padang Rengas (Perak), Jenderam (Selangor), dan Muar (Johor), tetapi Temerloh mungkin merupakan tempat yang lebih penting dan lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat yang lain.

Temerloh bukan sahaja merupakan pusat gerakan nasionalis kiri, malah merupakan "buaian gerakan nasionalis kiri" dan lambang gerakan nasionalis kiri itu sendiri.

Sekurang-kruangnya ada tiga faktor yang memungkinkan Temerloh mencapai status yang demikian.

Faktor pertama, yang mungkin merupakan faktor yang paling penting ialah faktor sejarahnya. Ini ialah kerana di Temerloh pernah mucul gerakan penentangan yang kuat terhadap campur tangan Inggeris dalam politik dan pentadbiran Pahang pada akhir abad ke-19. Dengan dipelopori oleh Dato' Bahaman yang berasal dari daerah itu, gerakan penentangan itu telah meluas hampir ke seluruh negeri Pahang.

Meskipun gerakan penentangan itu berakhir dengan kegagalan, tetapi gerakan itu telah memberi ilham,semangat dan dorongan kepada generasi anak Pahang yang berikutnya untuk meneruskan perjuangan antipenjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.

Pada zaman perjuangan kemerdekaan pula, khususnya pada zaman sebelum darurat (1946-1948) di Temerloh telah muncul gerakan nasionalis kiri atau radikal yang kuat dan mendapat dukungan yang agak menyeluruh daripada penduduk kawasan itu. Meskipun gerakan nasionalis kiri juga muncul di beberapa tempat yang lain, tetapi kehebatan gerakan nasionalis kiri di Temerloh mungkin sukar ditandingi oleh gerakan nasionalis kiri di tempat lain.

Malah satu fakta yang lebih penting lagi, yang jelas kurang atau tidak terdapat di tempat lain, gerakan nasionalis kiri yang muncul di Temerloh itu kemudian telah diikuti oleh kemunculan perjuangan bersenjata, setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948. Penglibatan orang Melayu secara beramai-ramai dalam perjuangan bersenjata, sehingga mampu membentuk Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) memang merupakan satu fenomena yang terdapat di Temerloh sahaja.

Dengan menganggap diri mereka sebagai anak cucu atau keturunan Dato' Bahaman, penduduk Temerloh tidak ragu-ragu memilih "merdeka dengan darah" sebagai cara mereka berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Walaupun mereka berjuang bersama-sama dengan PKM, tetapi perjuangan bersenjata yang mereka sertai pada dasarnya mereka tanggapi sebagai lanjutan dari perjuangan yang dicetuskan oleh Dato' Bahaman.

Faktor yang kedua ialah kedudukan Temerloh dari segi geografi. Dari segi ini Temerloh memang merupakan suatu tempat yang strategik. Temerloh terletak di pedalaman, jauh dari pusat kuasa, dan sukar dihubungi kerana sistem perhubungan yang masih belum sempurna. Tambahan pula ketika itu sebahagian besar daerah Temerloh masih dipenuhi oleh hutan tebal. Oleh itu, Temerloh memang merupakan tempat yang paling sesuai untuk dijadikan pangkalan oleh golongan yang ingin menentang pihak yang berkuasa.

Faktor yang ketiga, yang tentunya merupakan faktor yang penting juga ialah faktor tokoh atau pemimpin.Sebenarnya Temerloh bukan sahaja melahirkan "pemimpin lama", seperti Dato' Bahaman yang menentang campur tangan Inggeris, tetapi juga "pemimpin baru", seperti IbrahimYaakub dan Ishak Haji Mohamad. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Ibrahimn Yaakub ialah pengasas dan pemimpin KMM, sementara Ishak Haji Mohamad pula pernah menjadi Presiden PKMM. Kemudian selepas mereka , di Temerloh lahir pula pemimpin yang lebih muda, seperti Kamarulzaman Teh yang pernah menjadi Ketua API Pahang.

Kerana adanya tiga faktor yang tersebut di atas, maka bolehlah disimpulkan, bahawa Temerloh bukan sahaja muncul sebagai sebagai pusat gerakan kiri yang terpenting, malah boleh dianggap sebagai lambang gerakan kiri. Jika Suriani Abdullah pernah menganggap "Temerloh adalah buaian revolusi", kerana di situlah lahirnya Rejimen Ke-10, pasukan bersenjata Melayu yang dibentuk oleh PKM, maka Temerloh juga boleh dianggap sebagai "buaian nasionalis kiri" , kerana terlebih dahulu daripada itu di Temerloh telah lahir gerakan nasionalis kiri yang kuat dan berpengaruh.