Sunday, May 21, 2006

Lubok Kawah: Kampung Kecil yang Melahirkan Pejuang Besar


Sebelum Perang Dunia Kedua dahulu, Kampung Lubok Kawah, dalam daerah Temerloh , Pahang hanyalah sebuah kampung kecil. Penduduk asal kampung itu mungkin hanya kira-kira 30 keluarga. Walau bagaimanapun, kampung itu mempunyai penduduk yang ramai, kerana di kampung itu ada sebuah sekolah pondok yang menjadi tumpuan anak muda Pahang belajar agama mengikuti sistem pondok. Sekolah pondok itu dikendalikan oleh Haji Chik Man ( Haji Abdul Rahman) yang berasal dari Kelantan.

Kampung itu terletak dalam mukim Sanggang, dan di bawah jagaan Penghulu Sanggang. Bagaimanapun, "kawalan" Penghulu Sanggang ke atas kampung itu mungkin agak longgar, kerana Penghulu tinggal di kampung lain, di kampung Sanggang. Kepimpinan di kampung itu lebih banyak dikendalikan oleh Haji Md.Amin, ketua tempatan dan ketua keluarga yang bergelar Tuk Mukim (pemimpin informal yang kedudukannya di bawah Penghulu).

Oleh kerana tidak berada secara langsung di bawah kawalan Penghulu yang biasanya lebih berpihak kepada kerajaan dan pihak yang berkuasa, maka dalam bidang politik penduduk kampung itu agak bebas memilih haluan mereka sendiri.

Demikianlah, antara tahun 1946-1948, apabila gerakan politik kiri, seperti PKMM, API , AWAS dan BATAS muncul di daerah Temerloh, hampir semua penduduk kampung itu menyertai gerakan itu. Golongan yang lebih tua menyertai PKMM dan BATAS, sementara golongan yang lebih muda menyertai API dan AWAS.

Malah di antara ahli-ahli API itu ada beberapa orang yang sempat direkrut oleh Kamarulzaman Teh, Ketua API Pahang, yang juga seorang kader PKM, menjadi ahli PKM.

Mereka "bebas" menentukan haluan politik mereka sendiri, antara lain, kerana mereka tidak dikawal secara langsung oleh Penghulu atau pemimpin formal yang lain.

Kira-kira pada tahun 1947, atas inisiatif Kamarulzaman, sebuah bangunan yang dinamakan Markas API telah didirikan di tepi sungai, tidak jauh dari masjid, di kampung itu. Markas API itu, yang juga digabungkan dengan sebuah kantin (dinamakan Kantin API) telah menjadi tempat dan pusat anggota gerakan kiri Temerloh menjalankan aktiviti mereka.

Pada bulan Mei 1948, sebuah tempat latihan perkaderan untuk anggota Jabatan Kerja Melayu PKM yang kemudiannya dinamakan "Kem Se-Malaya" telah dibina di dalam hutan, dipinggir kampung itu. Yang membinanya tidak lain daripada ahli-ahli API Kampung Lubok Kawah. Beberapa orang ahli API Lubuk Kawah turut menghadiri kursus perkaderan itu bersama-sama "tokoh Melayu PKM", seperti Abdullah C.D. Rashid Maidin, Musa Ahmad, Wahi Anuar dan Shamsiah Fakeh.

Pada awal darurat pula, kampung Lubok Kawah menjadi tempat persembunyian empat tokoh Melayu PKM, iaitu Musa Ahmad, Wahi Anuar, Shamsiah Fakeh dan Zainab Mahmud, sebelum mereka masuk ke hutan untuk melancarkan perjuangan bersenjata. Tokoh-tokoh itu selamat berada di kampung itu, kerana mereka dijaga dan dilindungi oleh ahli-ahli gerakan kiri di kampung itu. Di kampung itu juga Shamsiah Fakeh dan Wahi Anuar berkahwin.

Apabila PKM melancarkan perjuangan bersenjata selepas undang-undang darurat diisytiharkan pada bulan Jun1948, ahli-ahli PKMM, API, AWAS dan BATAS Lubok Kawah adalah antara penduduk Temerloh yang paling awal menyertai gerakan itu. Bilangan mereka yang terlibat dengan perjuangan bersenjata itu dianggarkan tidak kurang daripada 40 orang.

Ada di antara mereka yang menyerah diri dan mengundurkan diri dari perjuangan, setelah Rejimen Ke-10, pasukan bersenjata Melayu PKM menghadapi "kekalahan" dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan , di satu tempat bernama Padang Piul, pada tahun 1949.

Namun, kira-kira separuh daripada mereka terus berjuang, malah ikut berpindah ke Selatan Thailand pada tahun 1953, apabila Rejimen ke-10, 11 dan 12 tentera PKM (Tentera Pembebasan Rakyat Malaya) terpaksa meninggalkan negeri Pahang.

Salah seorang daripada ahli API Lubok yang ikut berpindah ke Selatan Thailand ialah Ibrahim Chik yang kemudiannya menjadi salah seorang tokoh besar PKM, iaitu Ahli Jawatan Kuasa Pusat PKM.

Ibrahim Chik dan isterinya balik ke Temerloh pada tahun 1992. Akan tetapi beberapa orang bekas tentera PKM yang berasal dari Temerloh memilih tinggal di Kampung Perdamaian di Selatan Thailand, bersama ketua mereka Abdullah C.D, Suriani Abdullah dan Abu Samah Mohd. Kassim.

Jika kita berkunjung ke Lubok Kawah pada masa ini, kampung Lubok Kawah masih tetap merupakan kampung kecil, kerana kebanyakan anak-anak muda daripada kampung itu telah berpindah ke bandar atau ke tempat lain. Kebanyakan penduduknya ialah orang-orang tua.

Markas API tidak ada lagi , kerana telah dirobohkan oleh pihak yang berkuasa pada zaman darurat. Di tapak Markas API itu sekarang adalah tanah kosong yang ditutupi oleh semak belukar. Tapak Kem Se-Malaya pula masih boleh dikenali, tetapi sudah rata dan sudah menjadi sebahagian daripada kawasan sebuah kilang papan. Hanya masjid tua yang sudah buruk, peninggalan zaman sebelum perang, masih boleh dilihat dikampung itu.

16 comments:

rastom said...

kalau dapat ambil gambar mesjid itu pun jadilah, sebaga rakaman sejarah, takut takut nanti mesjid tu pun akan dirobohkan

Andin Salleh said...

Terima kasih atas saranan anda.
Saya belum sempat ke Temerloh. Tapi penduduk Temerloh sendiri mungkin ada yang berminat untuk "mengabadikan" gambar masjid itu.

Khalid Jaafar said...

Saudara perlu membuat dokumentasi yang teliti. Gambar-gambar, risalah-risalah dan lain-lain. Bolehkah saudara postkan gambar tokoh-tokoh itu ke blog ini?

Andin Salleh said...

Sdra.Khalid,

Satu kelemahan saya barangkali, saya tidak ada menyimpan gambar mereka yang berkenaan (kecuali melihat gambar sebahagian daripada mereka dalam buku-buku).
Oleh itu, buat masa ini saya belum dapat memasukkan gambar mereka dalam blog ini.

Dragonfly said...

Terima kasih atas keperihatinan saudara Harat tentang Masjid Kg Lubuk Kawah. Untuk perhatian saudara, Masjid tersebut didirikan di atas tanah persendirian oleh Tuan punya tanah tersebut. Ia tidak akan dirobohkan tanpa persetujuan cucu cicit tuan punya tanah yang kini menduduki kawasan tersebut. Kalau saudara mengatakan Kg tersebut adalah terpencil, tuan adalah silap. Kg tersebut telah membangun. Jalan yang melalui Kg tersebut telah menjadi laluan utama dari Sanggang dan Kg berhampiran untuk ke Temerloh. Malah telah ada perusahaan Ikan dalam sangkar yang agak besar telah diusahakan oleh anak tempatan disitu. Mengenai kawasan yang dikatakan belukar itu, tuan juga silap, ia telah dibersihkan oleh tuan punya tanah. Untuk pengetahuan tuan, Menteri Besar Pahang juga pernah melawat serta menunaikan solat Isya' di masjid tersebut. Walaupun ada masjid baru akan didirikan kelak, masjid ini akan tetap berdiri disana dan akan di selenggarakan sendiri oleh cucu cicit tuan punya tanah tersebut. Mungkin tarafnya diturunkan sebagai surau atau madrasah, tetapi, ia akan tetap berdiri disana sebagai meneruskan kesinambungannya sebagai tempat ibadat umat Islam.

cuti2malaysia said...

Saya setuju dengan kata-kata yang diluahkan oleh cucu cicit tu.. Masjid yang terdapat di Kampung Lubuk Kawah tu tidaklah seburuk yang digambarkan oleh penulis blog. Masjid tersebut tidak sama dengan keadaannya sebelum zaman perang kerana terdapat beberapa pengubahsuaian yang telah dilakukan sekitar tahun 80-an dan juga selepas tahun 2000. Keadaan di kampung tersebut juga jauh berbeza dengan keadaannya semasa di zaman komunis di mana kini terdapatnya jalanraya yang lebar dan selesa dibina oleh kerajaan kita. Penduduknya pula kebanyakannya telah mendirikan rumah batu atau separuh batu bagi menggantikan rumah papan lama. Ini menandakan ekonomi penduduk di Kampung Lubuk Kawah yang semakin baik dan maju.

Lan said...

Kampung saya di Lubuk Kawah. Menurut arwah Ayah saya, masjid kayu yang ada sekarang ni bukan lagi sama dengan masa dulu.. dah banyak penambahan.. cuma tangga naik ke masjid tu masih lagi yg asal.. boleh nampak kat tangga tu kesan tembakan peluru zaman darurat dulu.. kubur sebelah masjid tu pun masih lagi digunakan.. tapi disebabkan tak cukup ruang, hanya terhad kepada saudara2 dekat sahaja.

.. said...

Mungkinkah gambar masjidnya yang ditunjukkan dalam Laman Temerloh [http://lamantemerloh.blogspot.com/2009/11/masjid-kg-lubuk-kawah.html]

Kalau salah mintak maaf.

Lan said...

Ya Blogsadmin, memang betul itu gambar masjid lubuk kawah.. saya pun jarang balik kampung, tak perasan yg simen asalnya dah diganti dengan tangga baru.. dah lama sebenarnya diganti..

Mohamad Amirul said...
This comment has been removed by the author.
Mohamad Amirul said...

walaupun saya generasi baru di kg lubuk kawah...tp saya sempat menggunakan masjid tersebut untuk menunaikan solat jumaat dan arwah atuk saudara saya salah seorang siak masjid tersebut.

Unknown said...

Tahun bile masjid ini dibina?

Unknown said...

Spe Thu tlong reply ASAP

Unknown said...

Thn brpakah masjid ini dibina?

Unknown said...

Alhamdulillah, saya membesar di kg. Lubuk Kawah. Dari kecil hingga tamat belajar di universiti Masjid lama lubuk kawah lah tempat solat Jumaat , tarawih dan solat Aidilfitri. Sekarang dah ada Masjid Baru berhampiran rumah saya, dan ditakdirkan pula PM sekarang pun berasal dari Kg. Lubuk Kawah...DS Ismail Sabri...

zakrilipis said...

Salam..maaf lari tajuk..bole tak share siapa HAJI MD AMIN tu..sy dpt info die waris tok linggi (kg relong lipis)..sy mohon sape2 yg tahu bole tak share susurgalur tu..