Menilai kembali perjuangan Mat Indera
Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, Mat Indera bukanlah seorang tokoh besar. Dia hanya seorang pemimpin API pada peringkat daerah Muar, selain pernah memimpin persatuan buruh di pelabuhan Muar.
Mat Indera menjadi terkenal terutamanya kerana peranannya dalam serangan dan pembakaran ke atas balai polis Bukit Kepong oleh pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pada tahun 1950, kerana dikatakan dialah yang memimpin serangan itu.
Walau bagaimanapun, sebelum timbulnya kontroversi berkaitan ucapan Mat Sabu baru-baru ini saya rasa imej Mat Indera dalam beberapa buku yang saya baca adalah baik.
Walaupun Mat Indera dikatakan pernah masuk komunis dan berjuang bersama-sama komunis, tetapi buku-buku yang saya baca cuba memberi gambaran yang positif tentang Mat Indera, dan tidak memburuk-burukkannya.
Meskipun Mat Indera dikatakan orang yang memimpin serangan itu, tetapi bukan dia yang mengarahkan supaya pembakaran dilakukan ke atas balai polis itu. Malah dia dikatakan beberapa kali menyeru pasukan polis di balai itu supaya menyerah diri. Ini bererti dia mahu mengelakkan pertempuran antara pasukan TPNM dengan pasukan polis.
Di samping itu, dia juga dikatakan telah menyuruh beberapa orang isteri polis supaya keluar atau menarik mereka keluar dari kawasan balai polis itu. Itulah sebabnya beberapa isteri polis telah terselamat dalam pertempuran atau kebakaran itu.
Namun, setelah timbulnya kontroversi berkaitan dengan ucapan Mat Sabu baru-baru ini, timbullah pula tohmahan untuk memburuk-burukkan nama dan imej Mat Indera.
Mat Indera dikatakan seorang pengganas komunis, dan seorang yang telah diperalatkan oleh komunis (PKM). Dan oleh kerana dia seorang pengganas komunis, maka tentu saja dia bukan pejuang kemerdekaan.
Saya kira pandangan baru, atau tohmahan baru terhadap Mat Indera ini adalah tidak tepat dan tidak adil. Bagi saya, Mat Indera tetap seorang pejuang kemerdekaan, sama ada dia berjuang bersama komunis atau tidak.
Saya kira adalah lebih tepat, jika kita menganggap Mat Indera adalah seorang nasionalis. Dan kerana dia seorang nasionalislah maka dia sanggup mengangkat senjata dan bergadai nyawa untuk mencapai kemerdekaan.
Walaupun benar dia telah masuk komunis dan berjuang bersama tentera PKM, tetapi dia berbuat demikian, sebenarnya kerana dipaksa oleh keadaan.
Dia perlu masuk ke hutan untuk mengelakkan diri daripada ditangkap oleh pihak yang berkuasa penjajah. Dan apabila masuk ke hutan, teman seperjuangannya tentulah tidak lain daripada orang-orang komunis.
Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan fakta bahawa PKM juga berjuang untuk kemerdekaan, walaupun barangkali PKM ada agenda sendiri selepas kemerdekaan tercapai.
Akan tetapi, walau apa pun agenda perjuangan PKM selepas kemerdekaan tercapai, hal itu tidak berlaku dan tidak menjadi kenyataan, kerana perjuangan PKM telah dapat dipatahkan oleh pihak berkuasa penjajah. Itulah fakta sejarah yang tidak perlu ditokok tambah.
Namun, ini tidak menafikan hakikat bahawa PKM telah berjuang untuk kemerdekaan. Mereka memilih perjuangan bersenjata, kerana itulah strategi perjuangan yang dianggap sesuai dan berkesan pada masa itu.
Dengan itu, Mat Indera mesti diiktiraf sebagai seorang pejuang kemerdekaan, walaupun dia telah masuk komunis dan pernah berjuang bersama komunis.
No comments:
Post a Comment