Siapakah yang memulakan gerakan menentang penjajah?
Mengapakah tulisan Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia 22 Julai 2007 perlu diberi tajuk "Orang Melayu mula gerakan menentang penjajah, bukan PKM"?
Sekiranya kita mengakui fakta sejarah bahawa perjuangan menentang penjajah bermula sejak Portugis menjajah Melaka pada tahun 1511, saya rasa semua orang tahu yang mula-mula menentang penjajah memang orang Melayu dan tidak ada sesiapa yang mempertikaikan hal itu. Dan dalam hal ini PKM rasanya memang tidak pernah mendakwa bahawa parti itulah yang memulakan gerakan menentang penjajah.
Akan tetapi, kontroversi timbul apabila ada pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mendakwa bahawa perjuangan menentang penjajah hanya bermula pada tahun 1946 dengan perjuangan menentang Malayan Union yang diterajui oleh UMNO. Jadi seolah-olah UMNO-lah yang memulakan gerakan menentang penjajah.
Pandangan ini tidak betul, kerana perjuangan menentang penjajah bukan bermula dengan gerakan menentang Malayan Union. Perjuangan menentang penjajah sudah bermula jauh lebih awal daripada itu.
Cuma kita tidak harus lupa UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, sementara PKM ditubuhkan pada tahun 1930. Jadi mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa PKM berjuang menentang penjajah lebih dahulu daripada UMNO.